Sunday 17 March 2013

LittleSuri Little Tips: Sedapnya Air Kosong

Susahkan nak dengar anak-anak cakap 'sedapnya air kosong'.. kenapa ye? 



AIR UNTUK ANAK


Berapa banyakkah air yang diperlukan oleh seorang kanak-kanak dan kenapa mereka perlukan air? Ramai ibu bapa merungut memberitahu anak mereka tidak suka minum air kosong sebaliknya hanya gemarkan air berperisa. Keadaan ini berlaku mungkin kerana anak tidak diperkenalkan kepada air kosong sejak dari kecil. Oleh itu, untuk memastikan anak-anak mendapat air yang mencukupi untuk kegunaan tubuhnya, ibu bapa perlu memperkenalkan air kosong kepada anak seawal yang mungkin. Seboleh-bolehnya, elakkan daripada memberi anak minum minuman berkarbonat atau yang berperasa bagi mengelakkan dia daripada menolak untuk minum air kosong.

Ketahuilah bahawa jumlah pengambilan cecair yang diperlukan oleh anak anda bergantung pada banyak faktor. Antaranya ialah usia, jantina, tahap aktiviti fizikal, suhu persekitaran dan tahap kesihatan. Umumnya, kanak-kanak yang tidak banyak melakukan aktiviti lasak atau tidak bersukan, mendapat air yang mencukupi hanya dengan minum apabila terasa dahaga dan mengamalkan pemakanan yang seimbang.

PENTING

Air memainkan peranan yang sangat penting bagi membolehkan tubuh berfungsi. Ia mengawal suhu badan dengan membenarkan berpeluh, membuang bahan buangan menerusi urin, dan menggerakkan nutrien dan pelbagai bahan lain ke seluruh badan. Kanak-kanak yang aktif memerlukan banyak air untuk menggantikan air yang hilang dari tubuh terutamanya ketika cuaca panas.

Kanak-kanak berusia di antara 1 hingga 3 tahun memerlukan 1.3 liter air sehari. Oleh kerana tubuh mereka lebih kecil berbanding orang dewasa, kanak-kanak lebih mudah mengalami dehidrat. Mereka juga sering mengabaikan rasa dahaga mereka terutama ketika sedang bermain. Mereka lazimnya hanya akan meminta air apabila sudah penat.

Demam dan lain-lain masalah kesihatan menyebabkan air sangat-sangat diperlukan manakala cuaca sejuk atau ketika musim hujan, kanak-kanak biasanya kurang mengambil air. Sebagai ibu bapa, anda seharusnya tahu berapa banyak air yang anak anda ambil setiap hari untuk memastikan dia cukup air dalam tubuhnya. Anda akan tahu anak minum cukup air, air kencingnya akan berwarna kurang pekat dan ada kalanya tidak berwarna.

Penghidratan yang baik membantu kanak-kanak kekalkan berat badan yang sihat, pertingkatkan tahap kosentrasi dan kurangkan risiko penyakit kronik dan masalah yang berkaitan dengan bilik air seperti sembelit dan jangkitan salur kencing.

Bagi bayi dan kanak-kanak kecil yang belum boleh beritahu anda jika mereka haus, berikan mereka air setiap kali anda minum air, mungkin sejam sekali. Atau anda boleh juga sediakan botol air dan letakkannya di tempat yang boleh anak kecil anda capai dan minum sekiranya dia rasa dahaga. Jangan lupa beri anak minum air setiap kali dia terjaga dari tidur pada malam hari.

Pengambilan air boleh didapati daripada makanan dan minuman yang diambil oleh anak setiap hari. Ini termasuklah susu. Jus, sup, dan yagurt. Akan tetapi, air kosong tetap yang terbaik untuk memastikan tubuh anak tidak dehidrat.

Minuman berperisa yang mengandungi gula yang berlebihan perlu dikawal pengambilannya oleh anak anda. Kanak-kanak tidak boleh diberi lebih daripada 120-180ml minuman jenis ini dalam sehari. Air berkarbonat mestilah dielakkan daripada kanak-kanak. Minuman berkarbonat mengandungi kafein yang boleh menyebabkan ketagihan dan mungkin menyebabkan anak anda kerap buang air kecil sehingga cecair dalam tubuhnya kurang kerana yang dikeluarkan lebih banyak daripada yang diambil.

PENGAMBILAN BERBEZA

Kanak-kanak perlukan kira-kira 30-45ml air untuk setiap 450gm berat badan setiap hari. Jumlah pengambilan air bagi setiap kanak-kanak berbeza. Akan tetapi ketahuilah terlebih pengambilan air sama buruknya dengan terkurang pengambilan air. Jika terlebih minum air, selera kanak-kanak mungkin akan hilang selera makan.

Bagi kanak-kanak yang tidak mahu minum walaupun sudah dicuba dengan pelbagai usaha, cubalah pula dengan memberi mereka makan makanan yang banyak air. Antaranya ialah seperti sup dan buah-buahan seperti tembikai.

INFO:

Air kosong adalah minuman yang paling sesuai untuk kanak-kanak sekolah. Minuman kordial dan air bergas mengandungi gula yang tinggi dan boleh mengurangkan selera dan menjejaskan pengambilan makanan berkhasiat jika diminum terlalu kerap. Bekalkan air sejuk atau air yang dibekukan dalam bekas air yang dibungkus. Ia dapat mengekalkan suhu sejuk dan lebih digemari.

Sumber : Majalah Pa&Ma

No comments:

Post a Comment